Bantuan bekalan makanan ke Sibu akan mula dihantar Rabu ini – Awang Tengah

KUCHING: Bantuan bekalan makanan ke Sibu akan mula dihantar pada Rabu ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurutnya, perkara itu telah dipersetujui oleh Kerajaan Sarawak susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melibatkan Daerah Sibu, Selangau dan Kanowit pada 18 hingga 29 Januari ini.
Justeru, katanya penghantaran bantuan itu akan dilakukan secara berperingkat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu juga akan bekerjasama dengan jabatan, ketua kaum, badan bukan kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk mengenal pasti isi rumah di kawasan berkenaan.
“Berdasarkan maklumat awal yang diterima dari Residen Bahagian Sibu, kira-kira 73,000 isi rumah berada di kawasan yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Rantaian Makanan di Wisma Sumber Alam, di sini, hari ini.
Tambahnya, peruntukan bantuan ini akan diserahkan kepada JPBB Sibu untuk disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sibu, Selangau dan Kanowit.
“Agihan bantuan makanan juga akan diuruskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah dengan kerjasama daripada agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan semua yang berkaitan,” ujarnya.
Awang Tengah yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata, pihaknya belum mempunyai jumlah muktamad berhubung dengan dana yang akan disalurkan kerana sedang menunggu maklumat lengkap daripada JPBB Sibu.
“Apa yang penting ketika ini adalah memastikan semua bantuan makanan dapat disampaikan kepada mereka yang terjejas dan memastikan tiada isi rumah yang tercicir daripada senarai,” katanya.
Menjelas lanjut tentang keperluan logistik, beliau berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada JPBB Sibu untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang mungkin memerlukan pengangkutan khusus seperti helikopter atau pengangkutan sungai.
Sebagai rekod, setiap isi rumah akan menerima bantuan makanan bernilai RM70 yang terdiri daripada beras 10 kilogram (kg), gula, tepung, sardin dalam tin, teh atau kopi, minyak masak, biskut kering dan mi segera.

Suara Sarawak