Bantuan khas pesakit buah pinggang: 20 permohonan diluluskan

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah menerima 31 permohonan baharu untuk Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BKPBP) dari Januari hingga 18 Mac lepas.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 20 permohonan telah diluluskan melibatkan perbelanjaan RM564,100.

“Permohonan diluluskan tertinggi adalah dari Kuching (lapan), Sibu (tiga) Serian manakala dan Sri Aman masing-masing dua permohonan,” katanya pada Majlis Penghargaan Rakan Strategik Kenyalang Gold Card (KGC) dan Penyerahan Bantuan Kebajikan di Hotel Waterfront, di sini pada Isnin.

Tambahnya, setakat 18 Mac lalu, 62 permohonan lanjutan diterima dengan 44 permohonan telah diluluskan. “Permohonan lanjutan diluluskan yang tertinggi adalah dari Miri (18), Kuching (11) dan Limbang (empat), ia juga melibatkan perbelanjaan sebanyak RM978,216,” ujarnya.

Bantuan BKPBP merangkumi bantuan klinikal, termasuk pemasangan Arteriovenous Fistula (AVF) sekali sahaja maksimum RM3,000 untuk setiap pesakit dan suntikan Erythropoietin (EPO) maksimum RM240 untuk setiap pesakit.

Ia juga merangkumi rawatan hemodialisis maksimum RM200 untuk setiap pesakit dan setiap sesi rawatan atau RM2,400 sebulan, dan Continuous ambulatory peritoneal dialysis (CAPD) maksimum RM2,800 sebulan untuk pesakit jika tiada slot untuk rawatan hemodialisis.

Bantuan khas itu juga merangkumi bantuan tambahan, iaitu penempatan 30 mesin hemodialisis baharu untuk menggantikan mesin lama, termasuk menambah enam mesin baharu bagi Pusat Jantung Sarawak.

Dalam pada itu, ia juga melibatkan elaun pengangkutan RM50 untuk setiap sesi rawatan dengan keutamaan untuk pesakit luar bandar dan elaun sekali sahaja sebanyak RM5,000 untuk kos penginapan dan pengangkutan bagi pesakit yang menjalani pemindahan buah pinggang di Hospital Kuala Lumpur.

Suara Sarawak