Bantuan makanan RM1.42 juta untuk 16,000 penduduk Kapit dan Song mula diagih 4 Februari ini

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mula mengagihkan bantuan keperluan makanan kepada 16,000 isi rumah yang terjejas di Kapit dan Song akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 4 Februari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengagihan makanan berkenaan merangkumi empat Dun termasuk Pelagus, Katibas, Bukit Goram dan Belaga (Nanga Merit).

“Setiap isi rumah akan menerima bantuan makanan berjumlah RM70 yang diberikan sekali dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.42 juta termasuk kos pengangkutan.

“Seperti di Sibu, makanan keperluan yang dibekalkan termasuk beras, gula, tepung, sardin dalam tin, teh, kopi, minyak masak, biskut kering dan mi segera,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan Covid-19 berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, dana akan disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Bahagian Kapit dan disokong oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kapit dan Song.

“Sementara pengagihan makanan akan dilaksanakan secara berperingkat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kapit dan Song serta dibantu oleh pelbagai agensi kerajaan yang lain.

“Mereka akan mengenal pasti para penerima, kawasan terjejas serta pengangkutan untuk menghantar makanan sama ada menggunakan helikopter, jalan raya, jalan balak, perahu atau tongkang.

“Jadi tanggungjawab kita adalah untuk memastikan pengedaran bantuan makanan ini berjalan dengan lancar,” ujarnya sambil menyatakan keseluruhan terdapat 442 rumah panjang terlibat dengan 268 di Kapit dan 174 di Song.

Bercakap mengenai bekalan makanan, beliau berkata pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan ia mencukupi.

Turut hadir Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, Menteri Muda Utiliti Datuk Liwan Lagang dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki.