Bantuan makanan tiada kaitan politik

LIMBANG: Dengan keadaan negara yang di ancam penyakit berbahaya, mempolitikkan bantuan makanan yang diberikan oleh kerajaan adalah satu tindakan yang sangat tidak wajar.

Hal ini berikutan tindakan beberapa individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan hasutan menyatakan bantuan sedemikian tidak ikhlas dan hanya untuk meraih sokongan politik.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Timbalan Menteri Pengangkutan Faris Hasli menegaskan, bantuan yang disalurkan untuk meringankan beban rakyat dan ia tiada kaitan dengan agenda politik.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai beberapa kenyataan di media sosial yang mengatakan bantuan makanan tersebut untuk tujuan politik.

Tegasnya, bantuan makanan keperluan itu kegunaan selama sebulan sementara menampung perbelanjaan dapur sementara menunggu Bantuan Prihatin Nasional (BPN) masuk.

“Rakyat pada masa ini sudah semestinya memerlukan bantuan dalam bentuk makanan harian disebabkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

“Oleh itu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mengumumkan pelbagai bentuk bantuan.

“Bantuan makanan ini sebenarnya untuk meringankan beban sementara bantuan BPN dikreditkan dalam akaun setiap penerima,” jelasnya.

Faris yang juga Penyelaras Bantuan Makanan Sarawakku Sayang, Pusat Khidmat Parlimen Limbang berkata, pihaknya sanggup bergadai nyawa bagi memastikan setiap kumpulan sasaran di kawasan Limbang mendapat bantuan berkenaan selaras dengan peruntukkan yang diberikan.

Tegasnya, mempersoalkan mengenai keikhlasan pemberi bantuan sangat mengecewakan.

Menurutnya, individu yang suka menabur hasutan itu tidak berada di lapangan merasai sendiri cabaran serta kemungkinan untuk dijangkiti oleh virus.

“Kami juga manusia biasa yang mempunyai rasa takut jika dijangkiti.

“Namun, perasaan takut itu kami ketepikan demi memastikan tiada keluarga yang putus bekalan makanan,” ujarnya.

Suara Sarawak