Bantuan makanan Zon Tanjong Manis terus diagih

SARIKEI: Bantuan makanan daripada Ahli Parlimen Tanjong Manis mula diagihkan kelmarin kepada penduduk termasuk di Selalang dan rumah panjang di Zon Tanjung Manis.

Proses agihan itu akan diteruskan dan dijangka selesai sepenuhnya sebelum Ramadan tidak lama lagi.

Acara simbolik ringkas penyerahan bantuan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab sebelum agihan bermula.

“Bantuan makanan keperluan asas ini diserahkan kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) untuk diagihkan,” katanya.

Beliau berkata, selain Selalang dan Kerubong, agihan turut meliputi penduduk Taman Susur Jambu, Sarikei. Bagi Selalang, Kerubong, Kerapa dan Sentebu Susur Jambu katanya, agihan diagihkan kepada 854 Ketua Isi Rumah (KIR).

Manakala pengagihan Zon Tanjong Manis pula diuruskan Pegawai Khas Ahli Parlimen Tanjong Manis Sokri Morni.

Antara kawasan agihan ialah Rumah Dadat, Nanga Lepa/ Rumah Gabriel, Rumah Belabau, Sebayang Tusuk.

“Kita juga mengagihkan bantuan kepada penduduk di perumahan Tanjung Manis, balai bomba, balai polis, Kuarters Kerajaan Tanjung Manis, Perumahan Pusaka Tanjung Manis, SK Tanjung Manis, Stalon, Semalau, Kampung Rajang, Klinik Kesihatan Rajang, Kuarters Airport Jerijih, SMK Belawai.

“Jumlah keseluruhan agihan bagi Zon Tanjung Manis adalah 1,083 KIR,” ujarnya.

Semua sumbangan disalurkan Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis dan Pusat Khidmat Kuala Rajang dan akan terus diagihkan ke tempat lain secara berperingkat-peringkat.

Suara Sarawak