Banyak bangunan tidak mesra OKU

MIRI: Seramai 17 orang kelainan upaya (OKU) Persatuan Perkhidmatan Keupayaan Miri (PPKM) bersama-sama Adun Pujut Dr Ting Tiong Choon melawat Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng di sini, semalam.

Menurut Tiong Choon, lawatan itu memberikan pendedahan kepada mereka (OKU) mengenai langkah keselamatan semasa kebakaran.

“Semasa dalam kecemasan, semua orang akan panik termasuk mereka (OKU) juga.

“Jika mereka dilengkapi pengetahuan, mereka boleh bertindak dengan lebih efisien untuk melepaskan diri apabila berhadapan keadaan itu,” katanya ketika

ditemui pihak media pada lawatan tersebut, semalam.

Selain itu, beliau berharap, Majlis Bandaraya Miri memberikan perhatian lebih kepada kemudahan mesra OKU.

“Jika anda lihat di kawasan bandar, banyak bangunan bahkan kawasan perumahan tidak begitu mesra OKU.

“Jadi, saya berharap apabila MBM meluluskan sesuatu projek pembinaan, bangunan tersebut perlu dilengkapi dengan kemudahan yang membolehkan orang OKU menggunakannya dan mengurangkan beban harian mereka,” ujar Tiong Choon.

Selain itu, PPKM mengumumkan 15 daripada 17 ahlinya yang hadir pada lawatan itu bakal menyertai Larian Bersama Bomba ke-5 di sini, bulan depan.

Suara Sarawak