MIRI: Terdapat banyak tempat di bahagian ini boleh dimajukan khususnya kawasan hulu Baram dan tanah tinggi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan hulu Baram kaya dengan flora dan fauna yang boleh dibangunkan.
“Antara kawasan lain yang mempunyai potensi untuk dibangunkan adalah kawasan tanah tinggi yang sesuai bagi tanaman iklim sejuk.
“Kawasan-kawasan tersebut perlu dibangunkan untuk mengangkat status ekonomi di Bahagian Miri secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau bekata demikian ketika berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Lahir Ke-86 Yang Di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dj Stadium Miri, hari ini.
Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa Miri akan terus melonjak dengan peningkatan aktiviti industri minyak dan gas.
“Alhamdulillah, Shell yang sudah lama meninggalkan Miri kini kembali ke sini dan pastinya akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di bandar ini.
“Rizab minyak di daratan masih terdapat di sekitar Bahagian Miri, terutamanya di selatan Marudi yang akan diusahakan oleh Sarawak sendiri berdasarkan kuasa negeri ini di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958,” ujarnya.