Banyak Rumah Keluarga Angkatan Tentera rosak

SIBU: Kementerian Pertahanan komited untuk memastikan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sentiasa berada dalam keadaan selamat untuk diduduki bagi menjamin kebajikan dan keselesaan anggota dan keluarga mereka.

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata, kementeriannya diperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk membaiki dan menyelenggarakan RKAT bagi tahun 2020.

Menurutnya jumlah itu lebih besar daripada tahun lepas iaitu sebanyak RM50 juta. “Pada 2019, di bawah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) kita membaiki sebanyak 1,926 unit rumah yang sebelum ini tidak diduduki.

“Kita berharap pada tahun ini kita mampu membaiki sehingga 6,000 unit RKAT,” jelasnya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Kem Rascom di sini, semalam.

Chin Tong mengadakan lawatan ke kem-kem Tentera Darat di Sibu dari 3 hingga 5 Januari.

Antara kem yang dilawati beliau termasuklah Kem Rascom Sibu (Briged Infantri Ke-9), Kem Oya (Batalion Ke-3 Rejimen Renjer Diraja) dan Kem Junaco Park (31 Rejimen Sempadan).

Turut bersama-sama beliau ialah Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Md Din Abu, Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Abdul Rahman Wahab, Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) Brigedier Jeneral Datuk Pahlawan Mustaffa Othman, Asisten Ketua Staf Logistik Tentera Darat Brigedier Jeneral Meor Anuar Suhaili Mohd Ramli, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling dan Adun Pelawan David Wong.

Chin Tong memberitahu, ini adalah satu dasar baharu Kementerian Pertahanan selain hanya tertumpu kepada membangun atau membina baharu RKAT. Jelasnya kementerian maklum bahawa terdapat banyak RKAT yang tidak diduduki kerana rosak.

“Penting untuk anggota kita mempunyai tempat tinggal yang selesa apabila mereka melakukan operasi jauh daripada keluarga sehingga berbulanbulan.

“Untuk menyakinkan mereka, tugas kerajaan adalah untuk memperuntukkan rumah yang selamat dan selesa semasa mereka berada di tempat operasi. “Ini adalah harapan kementerian supaya kita boleh baiki sebanyak mungkin rumah-rumah RKAT yang sedia ada,” ujarnya.

Sementara itu, 9 Briged pada tahun ini telah diperuntukkan RM900,000 dalam Dasar Sedia Ada (DSA) bagi membuat penyelenggaraan RKAT. Ujarnya, sebanyak RM700,000 juga diperuntukkan untuk menyelenggara bangunan teknikal.