Bapa durjana ditahan rogol anak angkat

KUCHING: Seorang pelajar perempuan tingkatan lima trauma apabila terpaksa melayan nafsu serakah bapa angkatnya.

Perlakuan sumbang lelaki berusia 65 tahun itu hanya terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian malang yang menimpanya kepada gurunya, sebelum wanita berusia 45 tahun itu membuat laporan polis.

Menurut gadis berusia 17 tahun itu, bapa angkatnya beberapa kali mencabul kehormatannya sejak dia di tingkatan tiga lagi, sebelum dirogol pada 17 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata susulan laporan yang dibuat guru mangsa pada Selasa lalu, pihaknya menahan seorang lelaki semalam di rumahnya, Kampung Temenggong, Jalan Matang.

“Suspek mengaku ada mencabul mangsa dengan menyentuh di bahagian kemaluan dan telah merogol mangsa di kawasan semak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidil berkata mangsa tinggal bertiga bersama suspek dan ibu angkatnya, di mana dia merupakan anak angkat pasangan berkenaan yang dijaga sejak bayi.

Ibu kandung mangsa adalah kakak kepada ibu angkatnya.

Beliau berkata suspek akan direman hari ini di Mahkamah Kuching.

Gambar hiasan