
KUCHING: Barisan Kabinet baharu dalam Kerajaan Perpaduan diharap dapat memudahkan urusan mengembalikan hak Sarawak, kata Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Perhubungan Negeri-Persekutuan) berkata, dengan Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan empat lagi Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memegang jawatan menteri penuh, kepentingan Sarawak dan kebajikannya akan diutamakan.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen GPS dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atas penubuhan Kabinet baharu.
“Pelantikan lima ahli Parlimen kita dan jawatan TPM adalah satu pengiktirafan kepada rakyat Sarawak, GPS dan jenteranya.
“Ini adalah era baharu apabila sejarah tercipta dengan pelantikan jawatan TPM disandang oleh Negeri Borneo (Sarawak),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas merasmikan Program Kesedaran Alam Sekitar di Dewan Serbaguna Kampung Malaysia Jaya, di sini, hari ini.
Hasidah juga mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen terdahulu yang telah membantu memulihkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Kami berharap dengan adanya Kabinet baharu ini, PM dan TPM akan terus mengembalikan hak kami yang masih belum dikembalikan,” katanya.