Barisan kabinet seimbang – Ir Yusuf

SARIKEI: Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab optimis barisan jemaah menteri yang baru sahaja dilantik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpengalaman luas dan mampu memimpin negara dengan baik.

Sambil mengucapkan tahniah kepada mereka yang dilantik, beliau berkata, Malaysia kini dibarisi komposisi kepimpinan kabinet yang seimbang.

Malah katanya, mereka mempunyai latar belakang politik yang pelbagai dan profesional.

“Kabinet kali ini merangkumi semua parti-parti dalam perikatan. Sebahagian besarnya berpengalaman dalam beberapa penggal. Malah, ramai senator terpilih kerana mereka memang memiliki kelayakan,” katanya kepada Suara Sarawak, di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai portfolio yang dipegang anak Sarawak, Yusuf berkata, ia merupakan satu pengiktirafan dan tanggungjawab yang besar.

Bagaimanapun beliau yakin mereka yang menyandang jawatan itu mampu membela nasib dan memperjuangkan hak rakyat Sarawak.

“Kita bertuah kerana beberapa portfolio penting termasuk Menteri Kerja Raya dipegangkan oleh anak Sarawak sendiri.

“Kita sedia maklum, Sarawak masih memerlukan pembangunan terutama infrastruktur asas seperti jalan raya yang amat diperlukan oleh rakyat terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar,” katanya.

Suara Sarawak