MUKAH: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah menyifatkan pelantikan ahli kabinet Kerajaan Persekutuan semalam memperlihatkan lantikan perwakilan yang adil dari pelbagai parti politik, wilayah dan jantina.
Malah beliau yakin bahawa lebih banyak golongan wanita dapat dibawa masuk menyertai kerusi kabinet berkenaan.
“Menteri-menteri yang berpengalaman, berkebolehan, rajin, berorientasikan rakyat dengan rekod integriti yang baik kita lihat telah dilantik semula.
“Oleh yang demikian ia akan membentuk pasukan yang kuat dalam Kabinet baru yang boleh memberi tumpuan dalam menguruskan bantuan Covid-19,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Jelasnya ia penting untuk kesejahteraan golongan yang terjejas akibat Covid-19, maka inisiatif Pemulihan Ekonomi juga dilihat mampu mewujudkan keamanan, kestabilan, keharmonian dalam kalangan masyarakatnya yang berbilang kaum.
“Seterusnya diharap dapat menjadikan Malaysia mencapai kegemilangannya seperti sebelum ini,”ujarnya lagi.
Pada Jumaat Perdana Menteri kesembilan,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mengekalkan 31 kementerian yang meliputi 31 menteri penuh dan 38 timbalan menteri. Malah daripada kesemuanya tanggungjawab telah diamanahkan kepada 10 Ahli Parlimen dari Sarawak.
Sehubungan itu, semua barisan menteri yang dilantik akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Shah Billah, pada jam 2.30 petang, Isnin ini, di Istana Negara.