Baru Bian memutarbelitkan pindaan RUU Perlembagaan Sarawak 2020 – Ahmad Ibrahim

KUCHING: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Ahmad Ibrahim membidas Adun Ba’ Kelalan Baru Bian apabila sengaja memutarbelitkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Sarawak 2020.

Katanya tindakan Baru yang menggunakan penulis dan pemilik Sarawak Report, Claire Brown sebagai contoh untuk membantah cadangan pindaan tersebut tidak wajar.

“Apa yang Baru Bian katakan hari ini salah, terutama mengenai Claire Brown boleh menjadi calon untuk menjadi Adun di Sarawak.

“Claire Brown dilahirkan di Sarawak tetapi dia tidak pernah mengambil kewarganegaraan Sarawak atau warganegara Malaysia, dia adalah warganegara Britain,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Justeru, Ahmad menegaskan Claire tidak seharusnya digunakan sebagai contoh malah tidak dapat berdiri sebagai wakil rakyat atau rakyat Sarawak kerana dia adalah pemegang pasport Britain.

“Malaysia tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan…ia bertentangan dengan undang-undang untuk memiliki dua kewarganegaraan walaupun tanpa disedari,” katanya.

Baru ketika membahaskan pindaan RUU Perlembagaan Sarawak 2020 hari ini menggunakan Claire sebagai contoh, dengan mengandaikan bahawa jika dia mempunyai anak yang dilahirkan di Sarawak, tinggal di Sarawak, maka ia akan menjadikan anak itu layak menjadi Adun.

Bagaimanapun, RUU yang dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ini telah diluluskan secara sebulat suara sejurus ia selesai dibahaskan.

Suara Sarawak