Baru enggan ulas PDP di Pulau Pinang

KUCHING: Menteri Kerja Raya Baru Bian enggan mengulas lanjut mengenai langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang melantik Rakan Pelaksana Projek (PDP) untuk pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar-Bayan Lepas.

Katanya, mengguna pakai khidmat PDP adalah terpulang kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Terpulang kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kita bercakap tentang Lebuh Raya Pan Borneo,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan dokumen hala tuju projek Lebuh Raya Pan Borneo kepada Pengarah JKR Sarawak Datuk Zuraimi Sabki di sini.

Syarikat Gamuda Berhad dipilih oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membina LRT Komtar-Bayan Lepas dengan permulaan dijangka dilakukan pada pertengahan tahun ini.

Berbeza di Sarawak, khidmat PDP melalui Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd yang dilantik oleh kerajaan terdahulu diberhentikan dalam pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Kini, Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil alih sepenuhnya pelaksanaan projek ini menerusi modul konvensional dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai Pegawai Penguasa (SO) dan Wakil Pegawai Penguasa (SOR).

Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pembatalan kontrak PDP LBU akan mengurangkan kos projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak kepada RM18.8 bilion daripada RM21.9 bilion, sekali gus menjimatkan kerajaan RM3.1 bilion.

Kebanyakan penjimatan akan terhasil daripada penyingkiran kos perkhidmatan sebanyak 5.5 peratus yang dikenakan oleh LBU.

Suara Sarawak