Bas elektrik percuma mulai esok

KUCHING: Empat buah bas elektrik pertama di Sarawak akan mula beroperasi esok dengan menawarkan perkhidmatan percuma kepada orang ramai di 54 perhentian sekitar bandar raya ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kesemua bas berkenaan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan teknologi terkini serta penambahbaikan lebih mesra pengguna.

“Pada Februari 2019, kita melancarkan perkhidmatan percubaan percuma dengan hanya sebuah bas merangkumi 26 perhentian yang menghubungkan pelbagai destinasi pelancongan menarik di sekitar Kuching.

“Percubaan tersebut mendapat sambutan yang amat baik dan menggalakkan daripada penduduk tempatan dan pelawat, namun sebuah bas hanya memberi liputan perkhidmatan yang terhad selain risiko gangguan kerosakan dan penyelenggaraan.

“Justeru, kementerian saya mencadangkan untuk kita mempunyai empat buah bas elektrik serta menambah jumlah perhentian,” katanya pada Majlis Pelancaran Bas Elektrik (E-Bus) di sini, hari ini.

Suara Sarawak