Bas hidrogen mula beroperasi esok

KUCHING: Bas hidrogen Sarawak akan mula beroperasi esok, dari jam 7 pagi hingga 7 malam.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata perkhidmatan bas yang pertama di Asia Tenggara ini, menawarkan tambang secara percuma kepada penumpang.

“Semua orang boleh menggunakan perkhidmatan bas ini secara percuma, sama ada pelancong asing atau masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran perkhidmatan Bas Hidrogen Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Menurut beliau, sebagai permulaan, tiga buah bas digunakan untuk menghubungkan dua laluan ditetapkan iaitu di sekitar bandaraya Kuching dan Damai.

Bagi laluan Kuching adalah dari Tebingan Kuching ke Central Timur, Jalan Ban Hock, Hotel Riverside Majestic, Kubah Ria, Kampung Bandarshah 2 dan Tebingan Kuching.

Manakala bagi laluan Damai adalah dari Hotel Riverside Majestic ke Muzium Sarawak, Perhentian Bas Satok 1, Perhentian Bas Satok 2, Perhentian Bas Petra Jaya 1, Perhentian Bas Petra Jaya 2, Damai Central, Perhentian Bas 1, Perhentian Bas 2, Perhentian Bas 3, Perhentian Bas 4, Perhentian Bas 5, Perhentian Bas 6, Perhentian Bas 7 dan Hotel Riverside Majestic.

Suara Sarawak