Bas hidrogen pilihan terbaik

KUCHING: Kerajaan Sarawak ketika ini menumpukan prerhatian kepada penggunaan bas hidrogen, berbanding bas elektrik.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata walaupun bas elektrik juga pilihan yang baik, namun ia memberi impak kepada alam sekitar. “Kalau gunakan bas elektrik, baterinya sangat berat dan mengandungi lithium yang tidak mesra alam.

Malah ia perlu dihapuskan kerana mempunyai jangka hayat tiga hingga lima tahun sahaja, melainkan kalau ada teknologi baharu untuk bas elektrik.

“Tapi bas hidrogen sangat mesra alam, walaupun ia ada menggunakan elektrik, tetapi tidak banyak kerana enjinnya dijana oleh bahan api hidrogen serta tidak mengeluarkan asap seperti diesel,” katanya.

Pada sidang media sempena pelancaran Bas Hidrogen Sarawak di sini, semalam, majlis turut dihadiri Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak bersedia menambah bilangan bas hidrogen untuk langkah seterusnya. Untuk permulaan hanya tiga buah bas digunakan.

“Ini adalah permulaan dalam pelan kita untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam. “Langkah seterusnya kita mahu semua orang menggunakan hidrogen… kita akan menambah bilangan bas, kemudian beralih ke Sibu, Miri dan Bintulu,” katanya.

Beliau menambah dengan adanya bas hidrogen termasuk Aliran Transit Autonomous (ART) menjelang 2025, Sarawak akan mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik.

“Kalau kita sudah ada ini, pelancong akan datang cuma yang perlu kita pertingkatkan lagi ialah perhubungan udara,” katanya.

Suara Sarawak