
KOTA SAMARAHAN: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) merancang mempromosikan basikal buluh dari Sarawak secara komersial bermula awal tahun hadapan.
Pengurus Besar PUSAKA, Datuk Hashim Bojet berkata ia selaras dengan sambutan ulang tahun Ke-50 penubuhan PUSAKA.
“Selepas empat basikal ini siap dibina oleh 15 pelatih, kita akan meneruskan latihan untuk mengeluarkan tidak kurang 15 basikal buluh keluaran Sarawak sehingga penghujung 2022.
“Ia bagi memastikan kecekapan pelatih dalam menghasilkan basikal buluh berkualiti dan kita akan bekerjasama dengan SIRIM (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia) untuk mengeluarkan sijil basikal ini nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Program Latihan Jurulatih Basikal Buluh di Kompleks Industri Perabot PUSAKA Kota Samarahan (KIPPKS), hari ini.
Menurut Hashim, setelah mendapat sijil daripada SIRIM, PUSAKA akan memasarkan basikal buluh ke pasaran domestik dan luar negara susulan produk itu berpotensi untuk dikembangkan.
Pada masa sama, beliau berkata PUSAKA juga berhasrat memperluaskan pembinaan basikal buluh dan akan melaksanakan program latihan bersama komuniti di seluruh Sarawak.
“Kita juga menggunakan buluh tempatan bagi pengeluaran basikal buluh dari Sarawak dan kita akan memberi jenama basikal ini setelah diperkenalkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Berhubung harga seunit basikal, Hashim berkata mengikut harga pasaran antarabangsa, seunit basikal mengecah harga anggaran antara 1,000 hingga 3,000 USD.
Sehubungan itu katanya, harga basikal buluh dari Sarawak bagi pasaran tempatan, jumlah tersebut akan dimaklumkan kemudian.
“Melihat kepada kadar harga memang dilihat agak tinggi berbanding basikal besi namun, nilainya tidak sama kerana mempunyai nilai sentimental berbeza, “ jelasnya.
