Batu karang berharga lebih RM2 juta berjaya dirampas di Lundu

KUCHING: Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 2,493 biji batu karang pelbagai spesis bernilai RM2.493 juta hasil serbuan khas Operasi Bersepadu Kahzanah (OBK) di sebuah stor lorong 12, Kampung Lundu pukul jam 11 malam, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Supt Rosdi Inai berkata, operasi serbuan melibatkan seramai seorang pegawai dan tujuh anggota Task Force bersama dua pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC) di lokasi kejadian.

Menurutnya, operasi tersebut merupakan kes pertama penemuan spesis batu karang pelbagai jenis dengan jumlah tangkapan yang cukup besar bernilai RM2.493 Juta di Sarawak.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua batu karang yang ditemui dipercayai merupakan haiwan terlindung di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia 56 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis tersebut turut gagal mengemukakan sebarang dokumen permit atau lesen sah pemilikan batu karang berkenaan turut ditahan,” jelasnya dalam satu sidang media di bilik mesyuarat PGA Kuching semalam.

Tambahnya, kesemua spesis tersebut dipercayai untuk dieksport ke Singapura dan United Kingdom berdasarkan penemuan beberapa dokumen transaksi beberapa tahun lalu yang melibatkan kedua-dua lokasi berkenaan.

Rosdi berkata, hasil siasatan di lapangan turut mendapati batu karang terbabit dipercayai diperoleh di kawasan berhampiran termasuk Tanjung Datu, Lundu dan juga Sematan.

Menurut beliau, harga spesis berkenaan boleh mencecah dari 250 USD (RM1035.40) hingga 450 USD (RM1863.72) sebiji mengikut spesis.

Susulan kejadian, katanya, tangkapan dan rampasan seterusnya diserahkan kepada pihak SFC untuk disiasat lanjut di bawah Seksyen 29,(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998.

Tegasnya, jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum denda maksima RM10,000 dan penjara tidak melebihi satu tahun.

Ujarnya, operasi pendokumentasian seterusnya ditamatkan sekitar pukul 3 pagi setelah memastikan kesemua siasatan dilakukan di lokasi kejadian selesai.

Sementara itu, beliau turut menyeru masyarakat khususnya bersama pihak PGA Batalion 11 untuk menyalurkan maklumat bagi mengawal aktiviti menyeludup dan melindungi khazanah negara terutamanya melindungi haiwan terlindung yang jarang ditemui di Sarawak.

 

Suara Sarawak