Batu Kawa bakal berubah wajah

KUCHING: Satu lagi projek tebatan sungai bernilai RM10 juta di Batu Kawa untuk penduduk Kampung Rantau Panjang dijangka siap sepenuhnya pada bulan depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian mengumumkan perkara itu ketika lawatan beliau ke kampung berkenaan bersama-sama wakil Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak. (JPS)

Difahamkan Kampung Rantau Panjang yang terletak berdekatan tebing sungai sering mengalami masalah hakisan tanah yang serius.

Hakisan itu dibimbangi mengancam keselamatan penduduk di situ dan Kui Hian sendiri telah memohon dana daripada Kerajaan Sarawak bagi tujuan menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau turut melakukan beberapa kunjungan ke lokasi terlibat bagi mendapat maklum balas daripada penduduk dan mengambil kira beberapa langkah pencegahan.

Beliau yang juga Adun Batu Kawah turut menerima taklimat daripada wakil JPS mengenai rancangan pembangunan di Batu Kawah.

Selain projek tebatan, beberapa projek pembangunan turut dirancang di bandar itu termasuk membina tebingan sungai fasa satu dan dua masing-masing bernilai RM880,000 dan RM3.18 juta.

Ia termasuk membina tambak sungai di Kampung Sinar Budi Lama dan Kampung Rantau Panjang bernilai RM10 juta.

Kui Hian percaya, apabila kesemua projek-projek berkenaan siap ia akan mengubah keseluruhan pemandangan Batu Kawa termasuk mewujudkan jaringan sosial yang lebih moden untuk penduduknya.