Batuh Bijanji dinobat di Brazil

SERIAN: Dua murid Tahun Enam SK Temong di sini melakar sejarah apabila filem pendek animasi Batuh Bijanji (The Promised Stones) memenangi Anugerah Filem Terbaik Juri (Kategori Sekolah Rendah) dalam Festival de Cinema Escolar de Alvorada (Fecea) di Brazil. Filem animasi berdurasi lima minit 35 saat itu dihasilkan oleh Macgres Sawet dan Nabiatul Dania Zulfiqa Mohd Zulfadhli dan dibantu dua guru pembimbing, Zulfadli Ad-Dinnie Wan Azmi dan Mohd Reduan Patah.

Mohd Reduan ketika dihubungi semalam berkata, filem pendek itu sebelum ini turut tersenarai dalam Official Selection dan calon Animasi Terbaik (Kategori Sekolah Rendah) di festival tersebut.

Jelasnya, ia pernah tersenarai dalam pilihan rasmi Sesi Pembuat Filem Kali Pertama 2019 di United Kingdom dan tersenarai 11 terbaik #SubmitYourFilm Movies 2019 oleh Asian Movie Pulse.

Menurutnya, kejayaan dua muridnya di peringkat antarabangsa begitu membanggakan meskipun terdapat kekangan masa dan kos.

“Projek filem ini dibangunkan semasa dan selepas mengikuti bengkel animasi penceritaan digital (Dista) anjuran Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Sarawak, Kementerian Pendidikan Sains dan Penyelidikan Teknologi (MESTR) dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) pada 2019.

WAN ZULFADLI AD-DINNIE BIN WAN AZMI (30 tahun)

“Pembikinannya hanya memerlukan 10 hari. Dua hari semasa bengkel manakala baki lapan hari lagi disambung di sekolah termasuk untuk rakaman baharu,” katanya.

Jelasnya, filem itu merupakan projek sekolah di bawah Kelab Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Metematik (Stem) dan pelajar yang terpilih turut serta dalam proses dari awal hingga akhir pembikinan merangkumi pengolahan idea, sinopsis, skrip, jalan cerita, rakaman serta animasi.

“Bagi filem ini, kita gunakan teknik rotoscope – teknik animasi yang disampaikan dalam bentuk penceritaan – yang memakan masa.

“Ini kerana kita perlu merakam pergerakan karakter terlebih dahulu sebelum ditekapkan secara bingkai satu persatu selama 10 hari.

“Pembikinan ini kita buat selepas waktu persekolahan (petang), bukan pada waktu kokurikulum atau waktu pembelajaran biasa.

MOHD REDUAN BIN PATAH (40 tahun)

Projek ini juga diluluskan oleh Guru Besar Cleveland Raden dan dipantau oleh Penolong Kanan Kokurikulum Stanley Ngawah,” katanya.

Jelasnya, dengan kemenangan di peringkat antarabangsa, prospek apresiasi seni harus bergerak sejajar dengan subjek yang diajar selain penerangan elemen apresiasi filem dalam pembelajaran.

“Seperti inisiatif Filem Dalam Pendidikan yang dibangunkan oleh Cikgu Iroet Marteni dari SK Tampulan Telipok Sabah, saya berharap teknik rotoscope ini diterima ramai,” tegasnya. Filem pendek Batuh Bijanji mengisahkan persahabatan dua rakan iaitu Sarah dan Bibi yang dapat diibaratkan batu seremban yang dimainkan oleh mereka pada waktu kecil.

Tajuk Batu Bijanji ini diambil daripada bahasa Bidayuh Serian yang membawa maksud batu perjanjian.

Mereka setia berjanji bahawa persahabatan umpama batu seremban yang dimainkan dan tidak akan dilepaskan dan disambut erat oleh tangkapan tangan kerana nilai persahabatan itu saling melengkapi antara satu sama lain.

Untuk lebih lanjut dan bagi melihat sendiri filem pendek animasi yang dihasilkan oleh pelajar SK Temong, Serian ini orang ramai boleh melayari laman Youtube D-Mulsion Production di https://youtu.be/ DrQv6NoRpWg dan https:// youtube.com/user/DmulsionProduction.

Suara Sarawak