Baucar makanan lebih praktikal?

PANDEMIK Covid-19 yang kian meruncing serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di negara ini semakin menjejaskan ekonomi serta pendapatan rakyat terutamanya golongan miskin dan penjaja. Kita sendiri dapat melihat banyak perkongsian di media sosial yang menceritakan pelbagai kesukaran dan beban hidup masyarakat selepas berlaku penularan pandemik ini.
Ada keluarga yang terpaksa mencatu makanan kerana bimbang habis. Malah ada yang terpaksa memilih sama ada mahu meneruskan hidup membeli makanan atau membeli pelitup muka demi mematuhi SOP.
Golongan seperti ini amat memerlukan bantuan dari segi makanan mahupun kewangan, justeru langkah pencegahan segera wajar diambil terutamanya ketika ini harga bekalan bahan mentah dilihat semakin membebankan orang ramai.

Baru-baru ini Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengeluarkan satu kenyataan menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan pemberian baucar makanan dan barangan runcit bagi membantu golongan rentan menghadapi pandemik.
Menurutnya, negara luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan banyak lagi sudah lama melaksanakan intervensi food stamp dan pemberian baucar barangan perlu – cuma Malaysia sahaja tidak mempraktikkan cara berkenaan.
“Ia bukan dalam bentuk wang tetapi baucar yang diperuntukkan dalam jumlah tertentu khusus untuk diberikan kepada golongan rentan ini bawa ke mana-mana kedai runcit yang sah bagi mendapatkan barangan keperluan dan makanan. “Dengan situasi kritikal sekarang, ramai rakyat yang terjejas pendapatan ditambah pula harga barangan terus meningkat, pemberian baucar makanan dalam bentuk barangan runcit ini sangat membantu,” katanya.
Penulis sangat tertarik dengan cadangan ini, contohnya di Amerika Syarikat ia dilaksanakan untuk memudahkan rakyat berpendapatan rendah mendapatkan program makanan kerajaan. Mereka yang layak boleh membeli makanan yang disenaraikan menggunakan baucar yang dikeluarkan setiap bulan termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, daging, ayam, ikan, produk tenusu, roti dan bijirin.
Bagaimana pengagihan baucar itu boleh dilaksanakan? Tentu kita membayangkan rakyat beratur setiap bulan mengambil baucar makanan di bank. Tidak, sebenarnya ia agak menarik kerana mereka memanfaatkan penggunaan teknologi.
Baucar itu disalurkan di dalam kad elektronik bernama Electronic Benefit Transfer (EBT) yang berfungsi seperti kad debit dengan bantuan bulanan dimasukkan secara automatik ke dalam akaun penerima setiap bulan. Dengan itu, penerima boleh menggunakan kad EBT mereka untuk membeli makanan di kedai dan peruncit yang sah sahaja sekali gus tidak menyaksikan penyalahgunaan pembelian barangan dan saluran penyampaian bantuan.
Sementara wang yang diterima berlainan berdasarkan jumlah isi rumah kerana kerajaan Amerika Syarikat menganggarkan rakyat memerlukan sekitar 30 peratus pendapatan bersih untuk keperluan makanan keluarga. Antaranya sebuah keluarga yang dihuni tiga orang layak menerima maksimum AS$616 sebulan, sebagai contoh keluarga yang mempunyai pendapatan bersih AS$1,110.5 akan menerima bantuan bernilai AS$334 sebulan.

Justeru itu, baucar sedemikian bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan keluarga yang paling terhimpit tetapi dalam masa yang sama menjana pendapatan peniaga kecil dan pengusaha kedai runcit kerana berlaku putaran ekonomi.
Oleh yang demikian, kerajaan harus segera membuat penyelarasan bantuan bagi memastikan bantuan betul-betul sampai rakyat terjejas kerana ketika ini terlalu banyak bantuan diberikan oleh pelbagai agensi berlainan sehingga bantuan tidak sampai kepada golongan sepatutnya.
Untuk melakukannya, kerajaan boleh mencontohi serta mengkaji dengan teliti cara pelaksanaan negara lain supaya ia dapat disampaikan terus kepada golongan rentan bagi mengelakkan ketirisan atau penyelewangan berlaku seperti mewujudkan satu sistem menggunakan MyKad dan sebagainya.
Baucar bulanan ini contohnya boleh diberikan kepada kumpulan isi rumah B40 yang berpendapatan bawah RM2,500 iaitu kategori B1 dan penulis yakin cadangan ini satu jalan penyelesaian yang wajar dan tepat dilaksanakan sekali gus mengelakkan rakyat kita kebuluran.