Bawa dadah jalan-jalan di pasar Bau

BAU: Seorang penganggur berusia 20 tahun ditangkap selepas didapati membawa dadah jenis syabu ketika berada di pekan pasar Bau, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah (BSJND) Bau sebelum bertindak menahan dan memeriksanya sekitar jam 11 pagi.
“Pemeriksaan lanjut menjumpai satu bungkusan plastik kecil lut sinar berisi bahan kristal jernih disyaki dadah syabu seberat 1.18 gram.
“Dadah terbabit dijumpai berada di dalam poket seluar pendek yang dipakai oleh suspek,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Susulan itu katanya suspek bersama barang rampasan telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk siasatan lanjut.
Poge dalam kenyataannya turut mendedahkan lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod kesalahan lampau hasil semakan rekod yang dimiliki suspek.
Tegasnya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jelasnya, jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman denda tidaj melebihi RM100,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.