Bawa penyelidik gambut ke Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Persatuan Tanah Gambut Malaysia (MPS) berada di barisan utama untuk menjadi pihak berkuasa antarabangsa dalam penyelidikan gambut dan tanah gambut, kata Presidennya Dr Lulie Melling.

Menurutnya, sejak penubuhan MPS pada 2010, persatuan itu menganjurkan pelbagai acara bertaraf antarabangsa yang memberikan mereka pengalaman mendapatkan akses, peningkatan dan perwakilan dalam Persatuan Tanah Gambut Antarabangsa (IPS) walaupun terdapat pelbagai cabaran.

“Salah satunya apabila MPS diberi penghormatan dalam Jawatankuasa Nasional Malaysia dan mewakili negara dalam Jawatankuasa Nasional IPS serta perwakilan dalam Lembaga Eksekutif IPS pada 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ulang Tahun ke-10 MPS yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Institut Penyelidikan Tanah Gambut (Tropi) Sarawak di sini, malam Isnin.

“Walaupun MPS berusia satu dekad, perjalanan tersebut bukan mudah. MPS perlu melalui pelbagai cabaran untuk mengatasi kekurangan dalam menganjurkan acara bertaraf antarabangsa.

“Pada akhirnya, reputasi kami semakin bertambah dari segi akademik, malah kami yakin mampu menarik perhatian ahli akademik antarabangsa ke Sarawak pada masa akan datang,” jelasnya.

Ujarnya, MPS mampu berhadapan dengan khalayak dalam forum antarabangsa. Lulie berkata, kejayaan MPS tidak akan tercapai tanpa adanya Tropi terutama untuk pembangunan dalam penyelidikan saintifik dan bertanggungjawab terhadap pembangunan tanah gambut.

Lulie yang juga Pengarah Tropi berkata, kedua-dua organisasi itu memainkan peranan penting dan perlu berkembang kerana berkongsi dalam aspek melindungi sumber negeri. “MPS dan Tropi bertanggungjawab dalam pengurusan tanah gambut, pertanian dan pemuliharaan untuk ke-pentingan hari ini serta generasi Sarawak pada masa akan datang.

“Kerjasama ini membolehkan Sarawak didengari dalam forum antarabangsa dan ini memerlukan sokongan berterusan daripada Kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong dan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Saleh turut hadir.