Bawa suara hati rakyat Sarawak

KUCHING: Ketua masyarakat Iban di negeri ini berharap pelantikan dua wanita Iban sebagai Senator di Dewan Negara pada Isnin lalu akan membawa perubahan positif kepada masyarakat di luar bandar.

Tuai Rumah Dennis Sungkok berkata, pelantikan itu harus memberi manfaat kepada Sarawak, bukannya untuk kepentingan manamana pihak terutama untuk tujuan politik.

“Saya berharap mereka berdua (Susan Chemerai dan Rita Sarimah) akan membawa suara hati rakyat Sarawak di luar bandar ke dalam Dewan Negara. “Sudah tentu saya berharap mereka akan memperjuangkan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah banyak terhakis,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak baru-baru ini.

Beliau berkata, sebagai wakil wanita dari negeri ini, mereka juga harus menyampaikan suara kaum wanita di peringkat lebih tinggi untuk mengangkat martabat wanita dalam arena pembangunan negara.

MOMINN JENTA GEM

Sementara itu, Tuai Rumah Mominn Jenta Gem berkata, sebagai anak Iban Sarawak, pelantikan itu sungguh bermakna untuk meniup semangat generasi muda dalam mencapai impian mereka.

“Saya gembira kerana wanita Iban dari Sarawak mempunyai potensi dan berpeluang dilantik sebagai Senator di Dewan Negara. “Ini akan menjadi contoh kepada generasi muda khususnya anak-anak di luar bandar supaya belajar bersungguh-sungguh dan menjadi orang yang berguna suatu hari kelak,” katanya.

Kata Mominn lagi, beliau berharap Susan Chemerai dan Rita Sarimah dapat menyuarakan kesusahan yang dihadapi oleh masyarakat Dayak di Sarawak di Dewan Negara terutama berkenaan masyarakat luar bandar dan pendidikan,” tambahnya.

Pada Isnin lepas, Setiausaha Kehormat Pergerakan Wanita PBB Sarawak Susan Chemerai Anding dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak Rita Sarimah Patrick Insol telah mengangkat sumpah sebagai Senator Dewan Negara setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.