KUCHING: Masyarakat di Bawang Assan terutama di kawasan luar bandar kebanyakannya berbangsa Iban harus menolak Parti Sarawak Bersatu (PSB) kerana wakil rakyatnya tidak berjaya membangunkan kawasan tersebut.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Charles Chad Nissom berkata, sekiranya wakil rakyat yang sama tidak dapat menyelesaikan masalah kemudahan asas selama mentadbir walaupun ia berdekatan Sibu, maka tiba masanya mengeluarkan wakil rakyat berkenaan pada Pilihan Raya Negeri nanti.
“Ini selari dengan tindakan beberapa Adun PSB yang sengaja merakam gambar semak di Kapit dan memberitahu dunia, keadaan jalan raya kononnya menyeramkan. Ia perbuatan yang tidak matang.
“Pada masa sama, mereka melalui jalan raya dan jambatan yang dibina Kerajaan GPS untuk sampai ke destinasi.
“Mereka sama seperti keadaan yang digambarkan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem – ada mata buta, ada telinga pekak,” katanya pada Khamis.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menyokong kenyatan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing yang memberi peringatan kepada Presiden PSB Wong Soon Koh supaya melihat kawasan pentadbirannya sendiri sebelum menuduh wakil rakyat lain tidak membangunkan kawasan mereka.
“Bagaimana pengundi mempercayai mereka sedangkan masa yang sama, mereka sendiri memilih bersikap tidak tahu dengan kesalahan diri sendiri.
“Kebanyakan yang keluar dari mulut mereka merupakan pembohongan sematamata. “Fakta dan hakikatnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sendiri sudah bermotosikal ke Kapit baru-baru ini. “Ini membuktikan tuduhan itu tidak benar sama sekali,” tegasnya.