Bawang merah RM20 satu kilogram

MUKAH: Bawang merah bukan sahaja sukar didapati, malah harga untuk satu kilogram pula boleh mencecah RM20, sekali gus menggusarkan pengguna di sini.

Walaupun harga mahal berbanding harga sebelum ini (RM15 hingga RM17 untuk satu kilogram), bawang merah
tetap habis dijual hingga menyebabkan tiada lagi bekalan di pasaran.

Tinjauan Suara Sarawak di sini mendapati, hanya beberapa tempat yang masih mempunyai bekalan bawang merah. 

Sementara itu, Ketua Cawangan KPDNHEP Mukah Salihin Den berkata, beliau tidak menafikan bekalan bawang merah ketika ini masih kurang.

“Memang ada masalah bekalan bawang merah.

“Ini kerana negara India masih menyekat eksport bawang merahnya untuk pasaran luar negara.

“Kebanyakan bawang merah yang ada di pasaran hari ini diimport dari Thailand,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Salihin menyatakan, menurut laporan kedudukan harga bawang oleh Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP bertarikh 19 Disember tahun lalu, gangguan bekalan bawang merah berlaku berikutan larangan eksport oleh India.

Laporan itu memberitahu, larangan eksport itu berkuat kuasa pada 29 September 2019, berikutan masalah kekurangan bekalan bawang merah untuk keperluan rakyat di India sendiri.

“Kebiasaannya terdapat tiga jenis bawang yang akan dieksport ke Malaysia iaitu bawang merah kecil India (biasa), bawang merah kecil (Rose) dan bawang merah besar.

“Larangan yang masih berkuat kuasa itu telah mengganggu bekalan dan harga bawang kecil dan bawang merah besar ke Malaysia dan negara lain,” tambahnya lagi.

Ketua Cawangan KPDNHEP Mukah Salihin Den

Suara Sarawak