Bayar baki RM300 juta dalam masa terdekat

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak akan membayar baki RM300 juta pinjaman pendahuluan RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong.

Menurutnya, baki RM300 juta mampu membaiki 55 sekolah daif sama ada menaik taraf atau bina semula bangunan baharu.

“Pembayaran baki itu membolehkan lebih 55 peratus nasib sekolah daif di Sarawak terbela.

“Malah, peratusan sekolah daif di Sarawak mungkin semakin menurun dengan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan 2021 yang diumumkan awal bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Antarabangsa Inovasi, Sains dan Teknologi untuk Penyelidikan dan Pendidikan (InnoSTRE) Edisi Khas secara maya yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di UiTM Kampus Samarahan di sini semalam.

Kata Manyin lagi, keutamaan diberi kepada sekolah yang dibina berhampiran dengan sungai apabila berisiko dilanda banjir.

“Sebanyak 260 sekolah dibina berhampiran anak sungai.

Jadi kita menimbang untuk memindahkan sekolah ini ke lokasi lebih tinggi,” jelasnya.

Tambahnya, menjadi satu pembaziran jika menaik taraf sekolah yang sering dilanda banjir.

Bagaimanapun kata Manyin, ia mengambil masa kerana lokasi baharu perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Tanah dan Survei.

Sementara itu Manyin juga memberitahu, Kerajaan Sarawak telah membayar RM700 juta pendahuluan pinjaman untuk sekolah daif di negeri ini kepada Kerajaan Persekutuan.