Bayar elaun serentak dengan gaji

KUCHING: Cuepacs Negeri Sarawak menyokong penuh saranan pembayaran elaun Covid19 untuk petugas barisan hadapan dibayar serentak dalam gaji bulanan mereka.

Pengerusimya Ahmad Malie berkata, pihak mereka bersetuju dengan gesaan Presiden Cuepacs Malaysia Adnan Mat tentang perkara tersebut. “Kami sedih apabila mendengar ada petugas-petugas yang merungut kerana terpaksa membuat tuntutan untuk mendapatkan bayaran elaun tersebut.

“Baginya, proses birokrasi yang menyulitkan seperti ini tidak adil kepada petugas-petugas berkenaan,” ujarnya menerusi kenyataan media kelmarin.

Beliau menegaskan bahawa petugas barisan hadapan sudah mengorbankan keselamatan dan nyawa sendiri demi menyelamatkan nyawa orang lain dan menjaga kesejahteraan negara dalam menangani penularan pandemik Covid-19.

“Dengan erti kata lain, petugas barisan hadapan ini sanggup bertugas dalam keadaan bahaya serta berisiko tinggi yang boleh membawa maut. “Cuepacs menghargai kerana mendahului kepentingan negara daripada kepentingan diri dan juga keluarga mereka,” katanya.

Ahmad menyatakan, perkara sebegini agak malang kerana mereka berkorban, bertungkuslumus demi negara ini dan perkara berkenaan dipertikaikan dengan meminta membuat tuntutan untuk mendapatkan elaun yang telah diperuntukkan. “Dalam isu tersebut, kerajaan juga mengumumkan elaun Covid-19 tersebut mengikut kategori masing-masing,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Cuepacs menggesa kerajaan khususnya agensi berkaitan agar dapat menguruskan pembayaran elaun Covid-19 ini tanpa perlu kerenah birokrasi tertentu. “Lebih wajar elaun tersebut terus dibayar mengikut kategori dan kelayakan serentak dengan gaji masing-masing.

“Cuepacs berpendapat kaedah ini lebih adil dan nampak lebih ikhlas untuk mghargai mereka yang menggadaikan kepentingan diri demi negara. “Agensi berkaitan harus memandang isu ini secara serius demi kebajikan petugas di barisan hadapan,” tegasnya.

Suara Sarawak