Bayar kadar elektrik terendah di Malaysia

KUCHING: Keahlian Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam Persatuan Kuasa Hidro membolehkan projek-projek empangan di negeri ini mengikut Protokol Penilaian Kelestarian Hidro Kuasa yang bertaraf dunia.

Pengerusi SEB Tan Sri Abdul Hamed Sepawi berkata, Projek Empangan Hidro (HEP) Murum dibina berdasarkan standard berkenaan yang akan dikembangkan ke HEP Baleh.

“Dalam pembangunan HEP Baleh yang menjana 1,285 megawat (MW) tenaga, kita akan mengguna pakai aspek teknikal dan sosial daripada pembinaan HEP  Murum.

“Oleh itu, dengan inovasi yang berterusan, kita yakin mampumencapai pembangunan teknologi hijau dan mengurangkan perubahan iklim,” katanya.

Beliau berucap pada Forum Tenaga Boleh Diperbaharui dan Kelestarian (Saref) anjuran Sarawak Energy Berhad (SEB) yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di BCCK di sini,
semalam.

Tambah Hamed, dengan kos penjanaan yang lebih rendah, maka rakyat Sarawak kini membayar kadar elektrik terendah di Malaysia tanpa subsidi.

“Sebagai pemangkin kepada Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score), SEB membangunkan tenaga bersih dan mampu milik untuk menarik para pelabur dalam industri tenaga.

“Ini akan membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk Malaysia serta pelabur asing,” tegasnya.
Menurutnya, buat masa ini, Sarawak menjadi negeri pertama mengeksport tenaga ke Kalimantan Barat, Indonesia melalui Grid Borneo serta Brunei dan Sabah.

“Kewujudan Grid Borneo ini akan menjadikan Sarawak sebagai pembekal tenaga di rantau terbabit.

“Malah, ia merupakan rangkaian yang penting untuk keselamatan tenaga di masa depan dan boleh dipercayai,” ujarnya. Hamed turut memberitahu, pembangunan empangan hidro membolehkan kawasan pedalaman dibangunkan seperti di Batang Ai, Bakun dan Murum.

Suara Sarawak