KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan Baru Bian membangkitkan kebimbangan mengenai bayaran pemohonan status ‘penduduk asal’ (Bumiputera) Sarawak sebanyak RM100 yang dianggap membebankan.
Beliau berkata, cabaran ini akan dirasai terutamanya jika sesebuah keluarga itu mempunyai banyak permohonan.
“Ini juga mungkin menghalang rakyat Sarawak yang layak daripada membuat permohonan.
“Bayaran sebanyak RM10 sepatutnya memadai, kerana kerajaan tidak mahu dilihat sebagai mencari wang daripada rakyat yang memerlukan hak yang begitu penting untuk diiktiraf oleh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa yang sama, Baru Bian juga khuatir mengenai proses permohonan yang mungkin mencetuskan masalah birokrasi dan beban kewangan bagi rakyat yang begitu lama menantikan penyelesaian.
Menurutnya, proses permohonan yang melibatkan Pejabat Daerah dan menunggu Setiausaha Negeri serta jawatankuasa beliau akan menyebabkan kelewatan.
Ini katanya kerana Setiausaha Kerajaan Negeri tidak selalu lapang dan mempunyai tanggungjawab lain yang besar.
“Justeru, saya mohon permohonan ini diuruskan di peringkat Daerah oleh Pegawai Daerah atau Pegawai Pentadbiran Sarawak dengan menggunakan dokumen sah yang menyokong permohonan tersebut dengan bayaran pemprosesan yang minima serta kelulusan segera dengan Sijil Status.
“Saya percaya bahawa proses pengiktirafan status ini seharusnya dibuat mudah, dan Pegawai Daerah atau Pegawai Pentadbiran Sarawak adalah yang terbaik untuk mengendalikan permohonan sedemikian,” jelasnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, dan Hubungan Persekutuan Negeri) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali atas penjelasan mengenai isu pengiktirafan status’penduduk asal’ (Bumiputera) Sarawak.
Baru Bian gembira dengan keputusan tarikh pelaksanaan yang akhirnya ditetapkan dan diumumkan.
Terdahulu, Sharifah Hasidah Sayeed berkata pemohon yang mahu mendapat status’penduduk asal’ (Bumiputera) Sarawak boleh mengemukakan permohonan di mana-mana pejabat daerah di seluruh negeri bermula 1 November tahun ini.
Katanya, yuran RM100 dikenakan bagi setiap permohonan.