Bayi 4 bulan terperangkap selama tujuh minit berjaya diselamat pihak Bomba

KOTA SAMARAHAN: Kepantasan pihak bomba berjaya menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia empat bulan yang terperangkap selama tujuh minit di dalam sebuah kenderaan jenis Persona di sini pagi tadi.

Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii menjelaskan pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada jam 8.25 pagi.

“Empat anggota Bomba diketuai oleh PB Meor Azrulhafiz bergegas ke tempat kejadian dan, didapati seorang bayi dalam lingkungan empat bulan telah terkunci di bahagian tempat duduk hadapan sebuah kenderaan jenis Persona,

“Difahamkan kenderaan tersebut merupakan jenis automatik dan telah dipakirkan di kawasan Tadika Insan Gemilang, Lorong 3, Taman Palm Villa di sini,” ujarnya.

Tambahnya si ibu meninggalkan seketika bayinya itu bersama dengan kereta yang tidak dimatikan bagi menghantar dua orang anaknya masing-masing berusia tiga dan empat tahun ke tadika berdekatan.

Seterusnya pihak Bomba memerlukan masa lima minit membuka pintu kereta tersebut bagi menyelamatkan bayi tersebut dan bayi itu diserahkan kepada ibunya.

“Bayi tersebut dilaporkan selamat tidak mengalami apa-apa masalah dan operasi tersebut tamat pada jam 8.40 pagi,” katanya.

PANTAS … Tindakan pantas pihak bomba membukapintu berjaya menyelamatkan bayi berusi 4 bulan itu.
ANAK IBU … si Ibu mendapatkan kembali anaknya yang terperangkap di dalam kenderaan jenis Persona pagi tadi

Suara Sarawak