Bayi ditemui di halaman rumah, lima suspek ditahan di Bintulu

BINTULU: Seorang bayi tidak beridentiti dipercayai dibuang penjaganya ditemui selamat oleh orang awam di halaman tangga perumahan J5, hari ini.

Bayi terbabit ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap putih serta dibaluti sehelai kain berwarna hijau.

Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Zulkipli Suhaili mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kejadian sekitar jam 1.09 petang.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati tiga lelaki dan dua wanita warga asing disyaki terlibat dalam kes pembuangan bayi tersebut.

“Kelima-lima suspek warga asing dipercayai terlibat kes berjaya ditahan untuk tindakan selanjutnya dilakukan.

“Kita percaya salah seorang suspek wanita yang ditangkap merupakan ibu kepada bayi yang ditemui,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan kejadian, Zulkipli menambah siasatan terhadap kes bagaimanapun masih dijalankan.

Ujarnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda.

COMEL… Bayi tersebut ditemui di tangga perumahan J5 oleh orang awam

Suara Sarawak