Bayi enam bulan positif

KUCHING: Bayi berusia enam bulan antara enam yang disahkan positif Covid-19 pada Selasa.

Enam kes positif Covid-19 dikesan di Sarawak iaitu lima di Daerah Kuching dan satu di Lawas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 997 kes.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi kes yang dikesan di Daerah Kuching, tiga kes melibatkan jangkitan Kluster Green Hill dan dua kes melibatkan saringan kendiri di hospital swasta.

Menurutnya, kes di Lawas membabitkan seorang wanita tempatan yang telah menjalani saringan Covid-19 kerana baru pulang dari Sabah pada 28 Oktober lalu.

“Tiada kes Covid-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada Selasa.

“Tiada kes kematian baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kematian kekal 19 orang,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menambah 17 PUI baharu telah dilaporkan dan dua PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

Suara Sarawak