Bayi tiga bulan nyaris maut

KUCHING: Seorang bayi tujuh bulan dan ibu bapa nyaris maut setelah kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan jenis pancuan empat roda (4WD) Toyota Hilux di Jalan Kampung Bogag, Bau pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu mengakibatkan pemandu serta penumpang kereta cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Ebby Hirwandy Sabini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.38 pagi.

Ebby menjelaskan 12 anggota Bomba Dan Penyelamat Bau, diketuai PBKII Kadrie Bogol, bergegas ke tempat kemalangan bersama dengan satu FRT dan EMRS, melakukan kerja menyelamat.

“Tiba di lokasi, pasukannya mendapati pemandu (ayah) kereta Toyota Vios mengalami kecederaan dan masih berada di dalam kereta, manakala isteri dan bayi berjaya dikeluarkan hasil bantuan orang awam.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa sebelum diberikan rawatan awal,” katanya di sini, semalam.

Ebby menambah, pemandu termasuk tiga penumpang Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Bau untuk mendapat rawatan lanjut.

 “Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 12.20 tengah hari,” ujarnya.