Bayi tujuh bulan bersama ibu, bapa nyaris maut dalam kemalangan di Bau

KUCHING: Seorang bayi tujuh bulan termasuk ibu dan ayahnya nyaris maut setelah kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan jenis pancuan empat roda (4WD) Toyota Hilux di Jalan Kampung Bogag, Bau pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu mengakibatkan pemandu serta penumpang kereta mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Ebby Hirwandy Sabini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.38 pagi.

Ebby menjelaskan seramai 12 anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Bau, yang diketuai oleh PBKII Kadrie Bogol, bergegas ke tempat kemalangan bersama dengan satu FRT dan EMRS, melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Setelah tiba, pasukannya mendapati pemandu (ayah) kereta Toyota Vios mengalami kecederaan dan masih berada di dalam, manakala isteri dan bayi telah berjaya dikeluarkan hasil bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa sebelum diberikan rawatan awal,” katanya di sini hari ini.

Ebby menambah, pemandu termasuk tiga penumpang Toyota Hilux pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Bau untuk mendapat rawatan lanjut.

“Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 12.20 tengah hari,” ujarnya.

 

 

 

 

Suara Sarawak