ARTIKEL

Ahli KUBSB merakamkan gambar kenang-kenangan selepas mesyuarat.

Bazar Aidilfitri Satok sasar Kalendar Pelancongan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak (KUBSB) Berhad berhasrat menjadikan Bazar Aidilfitri Satok sebagai salah satu acara dalam Kalendar Pelancongan Sarawak bagi memperkukuh kedudukannya sebagai tarikan pelancongan di negeri ini.

Pengerusi KUBSB Berhad Ustaz Razemi Sarbini berkata, pihaknya yakin bazar yang sudah lebih sedekad dianjurkan itu mempunyai potensi besar untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada usahawan serta peniaga Bumiputera.

Menurutnya, Bazar Aidilfitri Satok bukan sekadar menjadi lokasi membeli-belah menjelang Aidilfitri, malah sudah menjadi antara acara yang dinanti-nantikan masyarakat setiap tahun.

“Sejak dilaksanakan lebih 10 tahun lalu, bazar ini semakin mendapat sambutan dan jumlah pengunjung juga menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

“Lebih 200,000 pengunjung membanjiri bazar ini setiap kali ia dianjurkan, sekali gus membuktikan bahawa Bazar Aidilfitri Satok mempunyai daya tarikan tersendiri,” katanya.

Peniaga menyertai Mesyuarat Agung Tahunan KUBSB.

Razemi berkata, bazar berkenaan turut menyediakan ruang kepada lebih 100 peniaga Bumiputera untuk memasarkan pelbagai barangan dan produk, terutama keperluan serta juadah Aidilfitri.

Katanya, penyertaan dalam bazar itu memberi peluang kepada peniaga meningkatkan pendapatan selain memperkenalkan produk tempatan kepada pengunjung dari luar Kuching dan Sarawak.

“Jika dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak, kita boleh merancang pelbagai aktiviti serta mencipta kelainan bagi menjadikan bazar ini sebagai tarikan pelancongan yang lebih tersusun dan menarik.

“Kita mahu pengunjung bukan sahaja datang untuk membeli-belah, tetapi turut menikmati suasana, makanan, budaya dan produk tempatan yang ditawarkan sepanjang bazar berlangsung,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak (KUBSB) Berhad di Kuching.

KUBSB mengendalikan Bazar Aidilfitri Satok lebih 10 tahun, menjadikannya destinasi membeli-belah tumpuan orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan surat kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan sokongan dan kerjasama untuk merealisasikan hasrat berkenaan.


Menurutnya, promosi yang lebih meluas juga boleh dilakukan dengan mengetengahkan keunikan Bazar Aidilfitri Satok sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan di Kuching, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.

“Bazar ini boleh menjadi platform untuk memperkenalkan makanan tradisional, produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), busana serta hasil tangan tempatan kepada pelancong.

“Pada masa sama, ia mampu memberi manfaat langsung kepada peniaga kerana peningkatan jumlah pengunjung berpotensi meningkatkan jualan dan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penaung KUBSB, Datuk Karim Rahman Hamzah, atas sokongan dan bantuan dalam menjayakan penganjuran Bazar Aidilfitri Satok.

Bazar berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setiap tahun.

KUBSB berharap usaha memasukkan Bazar Aidilfitri Satok dalam Kalendar Pelancongan Sarawak dapat direalisasikan bagi memastikan acara berkenaan terus berkembang sebagai produk pelancongan yang memberi manfaat kepada usahawan, peniaga dan ekonomi setempat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU