ARTIKEL

(dari kanan) Henry, Miro dan Ik Pahon menunjukkan tarikh Bazar Gawai Dayak Sarawak 2024 selepas sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Bazar Gawai Dayak Sarawak 2024 tampil pelbagai program menarik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bazar Gawai Dayak Sarawak 2024 pada 16 hingga 26 Mei ini di Bandar Baru MJC Batu Kawa, di sini akan menampilkan pelbagai pengisian menarik untuk pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Bazaar Gawai Dayak Sarawak 2024, Datuk Henry Harry Jinep berkata sebanyak 180 gerai akan dibuka yang menjual makanan, minuman, kraftangan serta pelbagai produk Dayak yang lain.

“Ia merangkumi 45 gerai halal, 45 gerai tidak halal, 35 gerai kraf tangan, 39 gerai menjual pelbagai barangan, 10 gerai makanan kering serta tiga gerai yang mempamerkan tiga etnik terbesar Dayak – Iban, Bidayuh dan Orang Ulu,” katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha II Sekretariat Perayaan Gawai Dayak Sarawak 2024 Datu Ik Pahon Joyik dan ADUN Serembu selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Bazaar Gawai Dayak Sarawak 2024, Miro Simuh.

Menjelas lanjut, Henry yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) dan ADUN Tasik Biru berkata selain jualan makanan, minuman dan kraftangan dalam sepanjang tempoh bazar, pengisian program pada hari pertama, 16 Mei akan menyaksikan aktiviti riadah (zumba) dan pra konsert.

Katanya pada 17 Mei pula akan diadakan majlis pelancaran yang dijangka disempurnakan oleh Timbalan Premier merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Gawai Dayak 2024 Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Pada Sabtu (18 Mei) akan menyaksikan uji bakat pertandingan Dayung Sangon dan Dari Pogan, saringan Gawai Idol serta Gawai Country Night,” katanya.

Henry menambah pada 19 Mei, pengunjung boleh menyaksikan pertandingan Ratu Gawai Bazar 2024 – Dayung Sangon, Keligit dan Kumang bagi peringkat usia 14 hingga 17 tahun termasuk konsert oleh kumpulan dan artis Dayak popular.

Pada 20 Mei pula, beliau berkata ia akan menampilkan peringkat separuh akhir Gawai Idol 2024 manakala pada 21 Mei mempersembahkan peringkat separuh akhir ‘Battle Of The Band’.

Sementara pada malam 22, 23, 24 dan 25 Mei, beliau berkata pengunjung akan disajikan dengan acara Malam Gawai Iban, Malam Gawai Orang Ulu dan Malam Gawai Bidayuh termasuk peringkat akhir Battle Of The Band.

Bagi hari terakhir bazar pada 26 Mei, Henry berkata ia akan diserikan dengan Sarawak Kids Got Talent, peringkat akhir Gawai Idol dan majlis penangguhan Bazar Gawai Dayak Sarawak 2024 yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perayaan Gawai Dayak 2024, Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Justeru, Henry berkata pihaknya menjangkakan Bazar Gawai Dayak Sarawak 2024 mampu menarik seramai 40,000 orang pengunjung serta merekodkan jumlah nilai jualan sebanyak RM3 juta.

BERITA LAIN

Usahawan dibantu melalui pembiayaan perniagaan

BINTULU: Kerajaan MADANI sentiasa komited membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) memulakan perniagaan, mengembang dan mempertahankan daya saing dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

BERITA TERBARU

28 pasukan beradu nasib hujung minggu ini

KUCHING: Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Novis anjuran Akademi Takraw Satok (ATAS) 2024 akan berlangsung gelanggang Kelab Sukan Komuniti (KSK) Satok/SLPAS, Kuching pada Sabtu dan Ahad

Usahawan dibantu melalui pembiayaan perniagaan

BINTULU: Kerajaan MADANI sentiasa komited membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) memulakan perniagaan, mengembang dan mempertahankan daya saing dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.