Bazar Lawas diisytiharkan kawasan wabak rabies baharu

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengisytiharkan satu lagi kawasan baharu wabak rabies iaitu di Bazar Lawas, Limbang.

Pengerusi JPBN Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata pengistiharan ini dibuat berikutan dua kes anjing positif rabies di kawasan berkenaan.

“Memandangkan kawasan ini berada di luar 10 km radius dari kawasan yang telah diisytiharkan, maka kawasan ini merupakan kawasan baharu wabak rabies iaitu ke-71.

“Setakat ini, sebanyak 71 kawasan telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies iaitu Kuching (7), Samarahan (4), Serian (22), Sri Aman (6), Betong (3), Sarikei (5), Sibu (3), Kapit (1), Mukah (6), Bintulu (5), Miri (7) dan Limbang (2),” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, sebanyak 205,898 suntikan vaksinasi anti-rabies telah disuntik oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS).

“JPVS akan meneruskan program pemvaksinan anti-rabies anjing secara percuma di seluruh Sarawak.

“Pemilik anjing sekali lagi diingatkan supaya memastikan anjing mereka diberi suntikan vaksin anti-rabies setiap tahun,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, memberitahu, suntikan vaksin rabies boleh didapati dimana-mana Pejabat Veterinar Bahagian atau klinik Haiwan swasta.

“Kegagalan berbuat demikian boleh disabit kesalahan di bawah Seksyen 40, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

“Denda tidak melebihi RM2,500 dan anjing boleh di tangkap dan disingkirkan sekiranya tanpa bukti pemvaksinan anti-rabies,” katanya.

Menurutnya lagi, membiarkan anjing bebas akan menyebabkan anjing terdedah dengan virus rabies dan membawa anjing keluar dari kawasan wabak rabies tanpa kebenaran bertulis daripada Jabatan Veterinar Negeri merupakan kesalahan di bawah Seksyen 37, dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 bulan.

Suara Sarawak