Bazar Ramadan akan terus dipantau – Salihin

BINTULU: Pengusaha gerai makanan di bazar Ramadan Bintulu dipuji kerana kerjasama baik yang mereka berikan dalam memastikan makanan dan minuman dikendalikan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh agensi berkaitan.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Bintulu, Salihin Den berkata sehingga semalam, kementerian belum menerima aduan daripada pengguna mengenai sebarang pelanggaran di empat bazar Ramadan utama di sini.

“Kami sangat gembira dengan keadaan ini, Pihak Berkuasa Kemajuan Bintulu (BDA) khususnya telah sangat berkesan dan proaktif dalam memastikan peniaga-peniaga di bazar Ramadan mematuhi syarat dan peraturan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan dengan agensi-agensi berkaitan di bazar Ramadan Taman Millennium di Tanjung Kidurong semalam.

Menurut Salihin, peniaga-peniaga di bazar Ramadan telah diberi taklimat dengan jelas oleh BDA mengenai syarat dan peraturan sambil menambah taklimat terbabit sebenarnya telah mewujudkan pemahaman yang lebih baik dan meningkatkan tahap pematuhan di kalangan peniaga-peniaga yang mengambil bahagian (bazar Ramadan).

“Pasukan penguatkuasa kami telah memeriksa dan mengawasi empat bazar Ramadan utama di Dataran Esplanade Bintulu, Tempat Letak Kereta berhadapan Hotel NU, Tapak Niaga Kampung Assyakirin dan tapak bazar Taman Millennium, Tanjung Kidurong sejak hari pertama puasa,” katanya.

PERIKSA….Salihin melakukan pemeriksaan di salah sebuah gerai jualan di tapak Bazar Ramadan Taman Millennium Tanjung Kidurong.

Untuk tahun ini, BDA telah memperuntukkan sejumlah 286 gerai di lima bazar Ramadan termasuk di tapak baru di T-Home Boutique.

Menurutnya lagi, bagi memastikan penguatkuasaan yang lebih berkesan, pegawai penguatkuasa kementerian akan berada di setiap lokasi bazar Ramadan untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara kerap ke atas bazar sehingga 4 Jun ini.

Langkah tersebut, tambahnya lagi, sebagai usaha berterusan pihak kementerian bagi melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika terutama semasa musim perayaan.

Justeru , beliau berharap kesemua peniaga akan terus mematuhi arahan yang ditetapkan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna perlu mengetahui tanggungjawab dan hak mereka.

Beliau, dalam pada itu, memberitahu pemeriksaan tersebut bertujuan membuat tinjauan ke atas peniaga bazar yang menjual makanan dan minuman sepanjang bulan Ramadan di samping membuat pemantauan dan pemeriksaan pematuhan penandaan harga di kalangan peniaga bazar Ramadan.

 

Suara Sarawak