Bazar Ramadan dibatalkan

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) membatalkan penganjuran bazar Ramadan susulan daripada keadaan semasa Covid-19 di negeri ini.

Pengarah DBKU Dr. Morshidi Ahmad dalam kenyataan berkata keputusan ini adalah untuk mengelak berlakunya kes kontak rapat sekaligus membantu kerajaan membasmi penularan pandemik ini.

Manakala Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata pihaknya turut mengambil langkah sama dengan membatalkan bazar ramadan yang sebelum ini dirancang dibuka di tapak letak kereta berdekatan Pasar Komuniti Stutong.

Katanya penarikan semula kebenaran pembukaan bazar dilakukan untuk mengelak kesesakan orang ramai yang menjadi punca kepada penyebaran wabak berkenaan.

Oleh itu, kedua-dua pihak berkuasa tempatan tersebut menyeru masyarakat mengambil tanggungjawab supaya tegas dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan arahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Suara Sarawak