ARTIKEL

Bazar Ramadan Serian jadi tumpuan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Bazar Ramadan menjadi suatu perkara wajib setiap kali Ramadan kerana menyajikan pelbagai jenis makanan dan minuman yang menarik.

Mungkin bazar di Kuching sering digembar-gemburkan dengan isu lambakan bazar Ramadan namun berbeza dengan sambutan meriah Bazar Ramadan Serian oleh penduduk daerah itu.

Menerusi tinjauan Suara Sarawak mendapati bahawa sambutan pelanggan terhadap Bazar Serian masih lagi meriah sejak hari pertama pembukaan bazar sehingga kini.

Bazar anjuran Majlis Daerah Serian dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Serian itu menempatkan 74 gerai merupakan tahun pertama dibuka kepada pengunjung pada tahun ini.

Menurut Rozzaimah Daem, 28, walaupun bazar itu baru dibuka tahun ini, perniagaan popia basah miliknya laris seawal jam 4 petang hampir setiap hari.

“Hasil jualan saya mencecah RM300 hingga RM400 sehari memandangkan popia basah ini menjadi makanan kegemaran majoriti pelanggan berbangsa Cina.

“Sambutan bazar kali ini lebih meriah kerana lokasi bazar yang strategik (di tepi lebuh raya Pan Borneo) dan parkir yang mencukupi untuk pelanggan dan pemilik gerai,” katanya.

Beliau juga bersyukur kerana pihak pengurusan bazar Serian turut mempromosikan perniagaannya di media sosial bazar Serian untuk memudahkan urusan pelanggan mengetahui menu yang dijual.

Manakala, peniaga air tebu dan air kelapa asli, Rozali Awang, 50 berkata, perniagaan miliknya itu berjaya menjual lebih 100 botol air tebu dan air kelapa setiap hari kepada pelanggan.

“Kebanyakan pelanggan berbangsa Bidayuh yang membeli air ini kerana rasanya asli tanpa bahan pengawet dan lebih segar,” katanya.

Rozali berkata, tapak bazar Ramadan itu hanya dikenakan bayaran sebanyak RM155 sahaja untuk satu tapak dan sangat berbaloi.

“Saya mencadangkan agar Bazar Serian ini dibuka lebih luas dan boleh menempatkan lebih ramai peniaga supaya boleh membantu peniagapeniaga lain yang terkesan semasa Pandemik Covid-19,” ujarnya ketika ditemu bual Suara Sarawak.

Berbeza dengan Ishamudin Wasli, 40, beliau berharap untuk tahun hadapan pihak pengurusan akan menyediakan sumber elektrik kepada peniaga yang memerlukan.

“Ada segelintir peniaga yang memerlukan elektrik untuk berniaga minuman seperti air jus namun tidak dapat berniaga kerana tiada sumber elektrik,” katanya.

Peniaga ayam panggang itu juga berkata pengalaman lebih 16 tahun dalam berniaga ayam panggang membuatkannya sudah memahami selera pelanggan di Serian.

“Saya mula memanggang ayam, ikan dan sate seawal jam 10 pagi kerana pelanggan yang datang bukan sahaja beragama Islam namun pelbagai bangsa yang lain.

“Setiap hari saya berjaya menjual sekurang-kurangnya 60 ekor ayam dan paling banyak pernah mencapai 100 ekor sehari,” tambahnya.

Beliau juga bersyukur kepada pelanggan tetap kerana sentiasa menyokong perniagaan itu sejak berniaga di Pasar Malam bermula tahun 2007 sehingga sekarang. 

BERITA LAIN

Pengunaan industri eksport catat kenaikan

KUCHING: Industri pembuatan beroperasi dengan kapasiti 80.8 peratus pada suku pertama 2024, berbanding kadar kapasiti 79.8 peratus yang direkodkan pada setahun lepas, kata Jabatan Perangkaan

BMW jual 4,300 kenderaan

SERDANG: BMW Group Malaysia menjual sebanyak 4,300 kenderaan pada suku pertama tahun ini, mewakili peningkatan lapan peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023. Pengarah Urusan

MyKiosk mudahkan peniaga

SARATOK: Peniaga kecil tepi jalan di Saratok dan Roban boleh menarik nafas lega apabila permohonan mereka untuk mendapatkan kemudahan berniaga seperti MyKiosk diluluskan oleh kerajaan.

BERITA TERBARU