Bazar Ramadan tahun ini dibenarkan dengan SOP ketat

KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan solat Tarawih dilaksanakan di semua masjid dan surau. Operasi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri juga diberikan kebenaran di semua negeri bermula 13 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan ini dibuat selepas kerajaan mendapatkan
pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kebenaran operasi perniagaan dan solat Tarawih pada Ramadan tahun ini.

Berdasarkan cadangan awal, bazar Ramadan akan dibenarkan beroperasi bermula jam 3 petang sehingga jam 8 malam dan bazar Hari Raya Aidilfitri bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.

“Kebenaran yang diberikan adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk dipatuhi peniaga dan pengunjung bazar Ramadan dan bazar Aidil fitri ini,” kata Datuk Seri Ismail Sabri.

“Antara syarat utama termasuk menjalankannya di kawasan terbuka, menyediakan laluan sehala untuk mereka yang masuk dan keluar serta mengadakan kawalan terhadap pengunjung dengan SOP yang ketat,” tambah beliau.

Suara Sarawak