Bazar Ramadan tinggal kenangan

KUCHING: Nampaknya impian kita untuk mengunjungi bazar Ramadan seperti dua tahun lalu dan tahuntahun sebelumnya hanya tinggal impian. Selepas diumumkan dibuka akhir Mac lalu, ramai yang mula memasang angan-angan untuk mengembalikan nostalgia kemeriahan bazar itu dengan pilihan hidangan yang pelbagai.

Namun semalam, impian itu tidak tercapai apabila beberapa majlis tempatan di negeri ini membatalkan penganjurannya susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Ia bermula dengan pengumuman pembatalan bazar Ramadan di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Satok, Semarak dan Sukma Ria tidak diteruskan bagi mengelak penularan Covid-19.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, bazar itu tidak diteruskan selepas kes Covid-19 menunjukkan peningkatan.

“Kita berbincang pengurusan DBKU dan memutuskan tidak meneruskan bazar Ramadan disebabkan kes meningkat. “Kita tidak mahu keadaan semakin berisiko tinggi disebabkan pembukaan bazar Ramadan,” katanya selepas meninjau Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dun Pantai Damai pada Rabu.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, permohonan pembukaan bazar secara individu juga tidak akan diberi kelulusan.

“Kita menasihati usahawan supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS). “Kita tidak membenarkan keadaan sesak dan peniaga perlu sentiasa menjaga kesihatan diri serta kebersihan,” ujarnya.

Sehubungan itu menurutnya, peniaga digalak menjual produk mereka secara atas talian bagi menjana pendapatan. Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) juga membatalkan bazar Ramadan yang terletak di tempat kereta berhampiran Pasar Komuniti Stutong.

MBKS memberitahu, pembatalan operasi bazar dilakukan bagi mengelak kesesakan orang ramai yang menjadi punca kepada penyebaran wabak tersebut.

Pihak majlis menggesa masyarakat mengambil tanggungjawab supaya tegas dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Pada Rabu, Bahagian Miri, Sibu termasuk Daerah Saratok serta Kabong turut membatalkan bazar Ramadan susulan penilaian risiko mendapati ia tidak selamat untuk diteruskan

Suara Sarawak