BBP Saratok juara Futsal Piala Ketua JBPM Zon Tiga

BALAI Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dinobatkan sebagai juara Pertandingan Futsal Piala Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tiga Sarawak yang berlangsung di Stadium Mini dekat sini, hari ini setelah rekod tanpa kalah yang dicipta gagal untuk dileburkan.

Dengan rekod cemerlang tersebut, pasukan yang diketuai Ketua BBP Saratok PPgB Nazry Mohamat itu berjaya mengumpul sembilan mata secara keseluruhannya untuk mendahului carta.

Kemenangan sulung diraih selepas menewaskan Pejabat JBPM Zon Tiga dan rentak semakin serasi apabila turut memonopoli dua perlawanan seterusnya iaitu menentang BBP Sri Aman dan Betong.

Semangat yang dibawa jersi biru merah melayakkan mereka pulang dengan Piala Ketua JBPM Zon Tiga Sarawak serta hamper.

Sementara itu tempat kedua disandang oleh BBP Sri Aman dengan enam mata.

Mereka memenangi dua perlawanan dan tewas di tangan BBP Saratok.

Turut menggembirakan, salah seorang tonggaknya Antonio Bagio dinobatkan sebagai pemain terbaik.

BBP Betong pula yang diketuai ketua balai PPgB Vincent Baling Yabi berada di tangga ketiga selepas cuma menang satu perlawanan ketika menentang Pejabat JBPM Zon Tiga.

Pejabat JBPM Zon Tiga bagaimanapun menerima hadiah sebagai pasukan fair play pada pertandingan tersebut.

Kesemua hadiah disampaikan oleh Ketua JBPM Zon Tiga Sarawak PgB Nik Muhammad Afiq Nik Roslan.

Beliau dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur kerana aktiviti riadah sebegini berupaya merapatkan hubungan antara anggota dan pegawai serta pejabat zon dan balai.

Katanya, semangat yang ditunjukan semua yang terlibat cukup tinggi.

“Tahniah kepada Pejabat JBPM Zon Tiga yang berjaya menganjurkan pertandingan sebegini… insha-Allah pada tahun mendatang boleh diusahakan lagi, mungkin melibatkan sukan-sukan yang lain,” jelasnya.

Suara Sarawak