KUCHING: Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) akan memperkenalkan format baharu untuk penganjuran Liga Betong 2022.
Presiden BDFA Abang Suhordie Abang Zaini menegaskan, pihaknya akan mewajibkan setiap pasukan bertanding dalam kejohanan berprestij itu dengan menyenaraikan pemain muda berumur bawah 25 tahun.
Menurut Abang Suhordie, hasil perbincangan awal pihaknya sebelum ini bersetuju memuktamadkan perkara itu.
“Format baharu itu menampilkan semua pasukan yang turut serta diwajibkan menyenarai pemain bawah 25 tahun,” ujar beliau kepada Arena Suara Sarawak.
Sambil turut menyatakan kelibat pemain muda peringkat umur terbabit mestilah lima orang dalam setiap perlawanan.
Katanya, pendekatan dilakukan ini sebagai langkah ke arah merancakkan pembangunan sukan bola sepak di Bahagian Betong.
Dengan kata lain, dapat memberi peluang kepada pemain muda terbabit serta badan induk (BDFA) dalam mengenal pasti bakat untuk diketengah ke peringkat lebih tinggi.
Menariknya Liga Betong 2022 kelak yang akan menggunakan dua gelanggang rasmi iaitu Kompleks Sukan Betong dan Kompleks Sukan Spaoh.
Jelasnya sambil turut menyatakan saingan akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
