KUCHING: Peraturan yang tidak diperlukan hingga menjadi beban antara halangan utama bagi sektor perniagaan untuk pulih dan bangkit semula daripada kejatuhan pandemik Covid-19.
Ketua Pengarah Lembaga Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, berdasarkan kepada keperluan itu, MPC telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan inisiatif Malaysia Mudah atau #MyMudah yang bertujuan untuk memansuhkan beban peraturan tidak perlu yang mengekang perkembangan industri.
“Menerusi inisiatif ini, industri terkesan diminta menyalurkan maklum balas berkenaan isu, masalah atau beban peraturan melalui sesi rundingan awam yang MPC jalankan dari masa ke semasa,” katanya ketika merasmikan Pembukaan Pameran Inovasi Kecemerlangan Pasukan Serantau 2021 (Ristex) Peringkat Ibu Pejabat dan Wilayah MPC melalui aplikasi Zoom pada Rabu.
Beliau menambah, pemulihan menyeluruh untuk keluar daripada pandemik Covid-19 merangkumi keupayaan negara menggerakkan semula dan mengubah persekitaran secara bersepadu dari segi modal insan, pasaran serta ekosistem inovasi.
“Pandemik Covid-19 yang masih melanda memberi impak ketara kepada sosioekonomi negara keseluruhannya iaitu perkembangan ekonomi menjadi perlahan, trend pengangguran terus meningkat dan kehidupan sosial rakyat berubah 360 darjah.
“Berdasarkan Laporan Berdaya Saing Global 2020, edisi khas pada kali ini menumpukan kepada pemulihan dan kebangkitan semula ke arah sistem ekonomi baharu menggabungkan sasaran produktiviti, rakyat dan persekitaran.
“Justeru, kerajaan sentiasa komited dalam membantu industri bagi meminimumkan kesan ekonomi akibat dari penyebaran pandemik Covid-19,” jelasnya.
Sementara itu, Abdul Latif menjelaskan program konvesyen Ristex merupakan platform yang penting bagi kumpulan Team Excellence (TE). “Platform ini bukan sahaja berkongsi idea kreatif dan inovatif.
Malah peluang bagi kumpulan TE menunjukkan bukti pencapaian serta kejayaan kumpulan untuk mentransformasikan projek inovasi serta meningkatkan produktiviti di tempat kerja masing-masing.
“Dengan adanya platform ini juga, diharap dapat mengukuhkan serta melestarikan budaya kreatif dan inovasi di dalam organisasi. “Penambahbaikan produktiviti di tempat kerja amat diperlukan secara berterusan bagi memacu ekonomi Malaysia untuk lebih berdaya saing,”ujarnya.
Beliau percaya, impak program seumpama itu menghasilkan penciptaan nilai tinggi serta menambah baik inovasi dan kualiti dalam proses kerja, sistem dan prosedur bagi menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti serta berinovasi bagi memenuhi kehendak pelanggan