Bebas enam tuduhan miliki dadah

KUCHING: Wanita warga China yang bekerja sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah kelab malam dibebaskan dan dilepaskan Mahkamah Majistret semalam atas enam tuduhan memiliki pelbagai jenis dadah termasuk syabu dan ganja.

Majistret Zubaidah Sharkawi dalam keputusannya pada penutupan kes pendakwaan kes dadah berkenaan terhadap tertuduh Quan Xi, 33, berpendapat, pihak pendakwaan gagal membuktikan wujud kes prima facie terhadap tertuduh.

Pendakwa raya gagal membuktikan dadah berkenaan kepunyaan dan dimiliki tertuduh kerana tertuduh ditangkap di luar kelab berkenaan ketika serbuan diadakan.

Manakala dadah berkenaan ditemui dalam almari di bilik stor di premis itu.

Terdahulu, peguam bela Steven Beti dibantu Gerald Donald dalam pengakhiran kes pendakwaan memberitahu mahkamah, pendakwa raya gagal membuktikan pemilikan dadah berkenaan kepunyaan tertuduh kerana semua dadah berkenaan ditemui di dalam bilik stor kelab berkenaan yang boleh dimasuki semua pekerja kelab.

Lagipun, pendakwa raya gagal memanggil pekerja kelab untuk menjadi saksi dan hanya memanggil enam saksi iaitu pihak polis dan pegawai kimia.

Quan Xi menghadapi enam pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Merbahaya, 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama boleh dikenakan denda RM20,000 atau penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak melebihi sembilan kali.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu pada jam 7.30 malam, 17 April lalu di sebuah kelab malam di Jalan Tun Jugah di sini.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Danial Ilham dan Asisten Penguasa Polis Rogayah Rosli.

Suara Sarawak