Bebaskan LA daripada kemiskinan

LUBOK ANTU: Masyarakat berbilang kaum di sini harus berganding bahu ke arah membebaskan daerah ini daripada berada dalam statistik 10 daerah termiskin di Malaysia.

Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang berkata perbezaan fahaman politik sewajarnya diketepikan dan titik persefahaman perlu dicapai demi merealisasikan matlamat ini.

“Sudah tiba masa warga Lubok Antu (LA) tanpa mengira Iban, Melayu atau Cina untuk bekerjasama berfikir dan berpandangan jauh ke arah pembangunan ekonomi.

“Semangat ini amat penting untuk kita mencapai kemajuan di kawasan Lubok Antu supaya daerah ini tidak lagi dilabelkan sebagai miskin pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Makan Malam bersama Persatuan Komuniti Cina Teochew di Pekan Engkelili dekat sini, semalam.

Hadir sama Adun Engkelili Johnical Rayong Ngipa.

Dalam pada itu, Jugah percaya komitmen dan semangat kerjasama yang diberikan rakyat Lubok Antu terhadap pembangunan akan membolehkan segala perancangan pembangunan kerajaan dapat berjalan lancar.

Beliau menyumbangkan geran RM10,000 kepada Persatuan Komuniti Cina Teochew Engkelili.

Katanya sumbangan berkenaan diharap dapat digunakan untuk aktiviti-aktiviti komuniti cina di Pekan Engkilili.