Beberapa kawasan di Sarawak alami penurunan bacaan IPU

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Sarawak merekodkan penurunan terhadap beberapa kawasan kategori sangat tidak sihat dan tidak sihat setakat 12 tengah hari ini.

Menurut Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Ismail Mahedin, tiga kawasan masih dalam kategori IPU sangat tidak sihat, diikuti tujuh kategori tidak sihat dan tiga kawasan kategori sederhana.

“Tiga kawasan kategori sangat tidak sihat, di mana Kuching dan Samarahan masing-masing mencatatkan penurunan dengan IPU sebanyak 241 dan 213 manakala Sri Aman masih merekodkan IPU sebanyak 220.

“Tujuh kawasan tidak sihat merangkumi Sarikei(155), Sibu(137), Bintulu(149), Mukah(133), ILP Miri(125),Miri(126) menurun manakala kawasan Samalaju meningkat dengan catatan sebanyak 132 IPU.

“Tiga kawasan kategori sederhana, iaitu S. K Baram mencatatkan 100, disusuli dengan Kapit dan Limbang masing-masing mencatatkan 97 dan 93 IPU,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, sumber daripada Jabatan Alam Sekitar Sarawak turut merekodkan Sarawak dan Brunei tidak mempunyai titik panas, manakala jumlah titik panas di Kalimantan dan Sumatera masing-masing berjumlah 450.

Suara Sarawak